Oleh Zulkarnain Omar
PENULIS bergambar dengan toman bunga Lubuk Kemapan, Rompin.
MUADZAM SHAH: Seperti diketahui umum Sungai Rompin dihuni pelbagai spesis ikan mahupun udang galah yang menarik kaki pancing untuk menguji kemahiran dan kepakaran. Justeru tidak hairanlah, saban minggu sungai berkenaan tidak lenggang dari bunyi deruman enjin bot pemancing.
Sebelum tengkujuh tiba,
biasanya udang galah menjadi sasaran utama kaki pancing.
Ditambah pula, keadaan air ketika itu menjadi faktor utama spesies mempunyai sepit itu begitu banyak didapati dan sudah pasti Lubuk Lais menjadi persinggahan.
Berumpankan anak udang, hanya udang galah bersaiz kecil saja sudi menjamah umpan. Perasaan bosan penulis dan rakannya, Ahmad Bahari mula terasa, walaupun beberapa tempat strategik sudah dijengah namun udang galah yang dicari masih belum ketemu.
Sesekali kedengaran deburan dan percikan air gara-gara ikan sebarau menyambar anak ikan.
“Wah... ada sebarau Zul. Menarik ni kalau kita mengilat... manalah tahu ada yang menyangkut,” katanya kepada penulis.
“Kalau tiada rotan.. akar pun boleh. Apa salahnya kalau kita mengilat, asyik tunggu udang galah, langsung tak menjadi,” syor penulis pula.
Percubaan pertama penulis dengan menggunakan gewang rapala selaman dalam tidak dihiraukan sang ikan. Beberapa balingan terus dilakukan namun tidak mendapat sambutan, walau berbagai rentak karauan dilakukan.
Beliau kemudian menukar gewang berwarna keputihan. Gewang ditarik sedikit pantas agar dapat membuka selera mangsa. Seketika penulis melihat riak air menjurus ke umpan yang ditarik keras, ternyata menimbulkan buih-buih kecil menyambar gewang.
Tiba-tiba, gewang seperti terlekat pada batang kayu yang terbenam di dasar sungai. Sentapan kuat dilakukan untuk mengemaskan tusukan jarum kail ke mulut mangsa, sekali gus gewang dibawa masuk ke celah reba.
Penulis mengarahkan Ahmad mengangkat sauh supaya dapat mendekati mangsa. Seketika kemudian mangsa berjaya dikeluarkan dari zon bahaya untuk bertarung di pertengahan sungai.
Riak air seakan memecut ke arah bot dan kesempatan ini diambil penulis untuk melayan mangsa hingga lemah. Perambut 30 paun dikhuatiri putus jika pertarungan dipanjangkan akibat tekanan tinggi, jadi penulis segera mengkarau tali ke gelendung. Jalur hitam kelihatan menjalar lalu di tepian bot.
“Toman Mat, jarang pemancing dapat ikan ni kat Sungai Rompjn, mungkin tersesat kot,” kata penulis.
“Toman pun tomanlah.. yang penting rezeki kita,” celah Ahmad Bahari.
Selepas 20 minit bertarung, toman Sungai Rompin bersaiz XL yang dianggarkan seberat lapan kilogram dapat dinaikkan ke dalam bot.
Sehingga jam 3 petang, hanya 12 ekor udang galah, seekor toman dan beberapa ikan lais berjaya dibawa pulang. Kesemua hasil tangkapan berkenaan diserahkan penulis kepada Ahmad Bahari.-Joran BH
Note: